m
Popular Posts
Follow Us
HomeMalay#Undirosak: Barah Kepada BN Atau Pakatan?

#Undirosak: Barah Kepada BN Atau Pakatan?

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu, pakatan pembangkang telah berkempen dengan slogan “Ini Kalilah” atau “Jom Ubah” yang telah memberi pengaruh besar terutama di kalangan pengundi Cina. Tetapi pengaruh itu gagal menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang berjaya membentuk kerajaan dengan menguasai 133 daripada 222 kerusi parlimen.

 

Walaupun tarikh PRU14 masih menjadi tanda tanya, BN dan pembangkang sudah pun memulakan kempen mereka yang kelihatan agak sengit melibatkan pelbagai isu hangat seperti 1MDB, GST, politik perkauman serta agama dibincangkan terutama di media sosial.

 

Namun kali ini terdapat kelainan dalam ruang perbincangan politik untuk pilihan raya kali ini berbanding dengan yang lepas dengan timbulnya kempen “Undi Rosak”. Pastinya kempen ini adalah yang paling kontroversial. Pada awal pelancarannya, hashtag #UndiRosak berada di kedudukan topik 10 teratas yang paling rancak dibincangkan di Twitter di kalangan pengguna Malaysia.

 

Sejurus kempen itu bukan sahaja ditolak oleh BN tetapi juga oleh semua parti-parti pembangkang. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan berkenaan menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya kepada negara dan umat.

 

Apa puncanya? 

 

Kempen #UndiRosak digerakkan oleh satu kumpulan anak muda yang mengajak rakyat memboikot pilihan raya dengan merosakkan undi. Ia digerakkan secara meluas melalui media sosial boleh dilihat sebagai satu proses luahan perasaan oleh sekumpulan pengundi yang sudah hilang keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap sistem pilihan raya dan parti politik yang ada – baik BN mahupun Pakatan.

 

Ada pihak yang merumuskan bahawa anak muda yang menyokong kempen ini sudah mual dengan polisi BN yang dikatakan tidak membantu rakyat meningkatkan mutu kehidupan terutama golongan miskin bandar.  Isu 1MDB, pelaksanaan GST, rasuah dan ketirisan telah dikenalpasti sebagai punca rakyat protes terhadap BN.

 

Tidak dinafikan, isu-isu ini adalah  ‘liabiliti‘ besar kepada BN terutama 1MDB di mana Perdana Menteri (PM) Najib Razak sehingga hari ini masih disoal tentang dana RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun banknya walaupun penjelasan telah diberi.

 

Tetapi jika diteliti, isu 1MDB dan GST telah dibincangkan sejak 2014 sedangkan kempen #UndiRosak bermula hanya pada Januari tahun ini. Dari segi kronologi, kempen ini bertitik tolak daripada keputusan Pakatan menamakan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM.

 

Sedikit imbasan, bantahan terhadap pencalonan Mahathir sebagai calon PM bukan hanya dilakukan oleh penyokong tegar reformasi yang menyifatkan pencalonan Mahathir sebagai “mematikan” perjuangan reformasi yang sekian lama diperjuangkan oleh penyokong pembangkang.

 

Pemimpin Pakatan sendiri terkejut termasuk Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang tidak berselindung mengenai rasa kecewanya mengenai perkara itu. Anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur yang berpendapat bahawa langkah melantik Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara hanya akan memperkenalkan semula kelahiran “Mahathirism”.

 

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat kempen #UndiRosak lebih relevan kepada penyokong Pakatan yang menghadapi pelbagai krisis dalaman serta tuduhan rasuah.

 

“Terdapat kekecewaan apabila Pakatan mencalonkan Mahathir sebagai PM. Mereka juga kecewa dengan isu-isu yang melibatkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor. Selain itu, ketidakupayaan pembangkang untuk bersatu dalam mendepani BN juga mendorong rasa kecewa golongan ini terhadap Pakatan,” kata pensyarah itu.

 

Jika begitu, ada kemungkinan Pakatan akan menjadi pihak yang paling rugi akibat kempen #UndiRosak ini. Tetapi apa yang pasti kedua-dua pihak – baik BN mahupun Pakatan sedang berada dalam penilaian rakyat. Isu-isu yang melatari kedua-dua pihak amat mudah mempengaruhi ‘golongan kecewa’ ini, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.

 

Bagaimanapun, berkemungkinan golongan ini akan membuat pertimbangan lanjut selepas kedua-duanya, BN dan Pakatan, mengumumkan manifesto masing-masing dan apa tawaran mereka terhadap golongan berkenaan, khususnya dari aspek mengurangkan beban akibat peningkatan kos sara hidup bagi penyelesaian jangka masa panjang.

 

Berjayakah kempen #undirosak pengaruhi pengundi muda?

 

Jika dilihat, sejak pilihan raya umum pertama pada 1959 sampailah kepada yang terakhir pada 2013, jumlah undi rosak kurang 5% daripada keseluruhan undi yang terkumpul. Kali terakhir jumlah undi rosak tinggi ialah pada 2004 iaitu 4%. Jadi, sejauh mana pengaruh kempen ini pada PRU14 kelak?

 

Dr Jeniri berkata kempen ini tidak akan memberi kesan besar kerana ia hanya mempengaruhi pengundi muda celik politik di kawasan bandar.

“Ia jelas tidak akan membantu untuk menentukan siapa atau parti mana yang menang. Ia hanya akan memuaskan hati mereka yang kecewa.”

 

Beliau juga berkata pengundi perlu sedar perbuatan merosakkan undi adalah sama seperti tidak mengundi.

“Dengan merosakkan undi, mereka secara langsung menyerahkan keputusan kepada orang lain untuk memilih pemerintah. Jika mahu perubahan, mereka perlu membuat keputusan yang pasti.”

 

Apakah membuang undi rosak merupakan langkah yang terbaik?

 

Bukan sahaja semua parti politik mengecam undi rosak, malah kebanyakan individu berpengaruh juga tidak menggalakkan anak muda menyokong kempen tersebut. Salah seorangnya adalah peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata undi rosak tidak menyelesaikan masalah.

 

“Apakah dengan tidak mengundi akan menyelesaikan kemelut permasalahan yang mereka hadapi? Walaupun sebahagian tidak mengundi, namun pilihan raya tetap diadakan dan akan ada parti yang menang dan kalah. Orang yang tidak mengundi dan tidak bertanding tidak langsung berpeluang menjadi kerajaan mentadbir negara dengan baik.

 

“Dalam sistem demokrasi, hanya mereka yang bertanding dan menang sahaja boleh menjadi wakil rakyat memperjuangkan hak rakyat. Walaupun politik bukanlah segala-galanya tetapi ia sedikit sebanyak akan mengemudi bahtera negara semasa badai melanda,” katanya kepada media.

Walaupun ia tidak salah di sisi undang-undang, perbuatan merosakkan undi dianggap tidak bertanggungjawab kerana pilihan raya umum merupakan saluran bagi rakyat memilih kerajaan. Ianya juga boleh merugikan merugikan diri sendiri dan juga orang lain kerana satu undi boleh menentukan nasib rakyat, masa depan Negara dan juga nasib generasi masa depan.

“Cara yang betul untuk mengajar parti politik adalah dengan tidak mengundi orang yang tidak sepatutnya diundi,” nasihat  Dr Jeniri.

Comments

comments

Please follow and like us:
    The Malaysia Impact Article Contest
    Your Information will never be shared with any third party.
    The Malaysia Impact Article
    Submission Contest
    %d bloggers like this:
    The Malaysia Impact Article Contest
    Your Information will never be shared with any third party.
    The Malaysia Impact Article
    Submission Contest