m
Popular Posts
Follow Us
HomeMalayUMNO Selangor ibarat nyawa di hujung tanduk?

UMNO Selangor ibarat nyawa di hujung tanduk?

FB-Ads-2-Week-32-thumb

SEJAK beberapa bulan ini, semua parti komponen BN Pulau Pinang terutama Gerakan tanpa henti menyerang Ketua Menteri DAP Lim Guan Eng. Setiap hari ada sahaja isu yang dilaporkan oleh media arus Perdana dan juga media sosial menghentam Guan Eng. Dan setiap kali Dewan Negeri Pulau Pinang bersidang, wakil BN termasuk UMNO berhujah dengan lantang menyoal kempimpinan Guan Eng. Berpeluh jugalah DAP menjawab tuduhan yang dilemparkan.

 

Tapi di Selangor, komponen BN Selangor sangat lesu, seolah tidak bernyawa. Bukannya tiada isu yang boleh diketengahkan tetapi hanya beberapa orang sahaja bersuara. Hanya Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang boleh diharap. Kadang-kadang Dato’ Jamal Yunus dan terbaharu Dato’ Rizal Mansor, Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor cuba membantu. Apabila Dewan Negeri Selangor (DNS) bersidang, hanya 1 atau 2 yang bersuara daripada 12 orang ADUN BN. Ramai lebih suka duduk di dewan makan.

 

Kelemahan BN Selangor adalah punca utama mengapa MB PKR Azmin Ali dan kartelnya “bermaharaja” di Selangor. Rakyat tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada BN di Selangor sehingga ada spekulasi yang Umno sudah selesa menjadi pembangkang kerana dapat mengawal terus projek kerajaan Persekutuan disalurkan ke Selangor menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Adakah mungkin juga wakil rakyat dan ketua bahagian seronok mendapat “bahagian” masing-masing daripada projek yang bernilai jutaan ringgit itu.

 

Ada juga desas-desus dikalangan orang politik yang mendakwa Azmin telah ‘kowtim’ dengan ketua-ketua UMNO bahagian supaya tidak menyerangnya dan sebagai balasan kerajaan pakatan tidak akan mengganggu perniagaan atau projek yang dimiliki mereka. Salah seorang yang mendapat amaran daripada otai UMNO Selangor ialah YB Budiman Mohd Zohdi apabila dia terlalu lantang menyerang Azmin.  Cerita-cerita ini mungkin fakta yang diperbesarkan tetapi melihat pada UMNO yang seperti ‘patung bernyawa’, rakyat berkata mungkin ia tidak mustahil berlaku.

 

UMNO Selangor sepatutnya tahu profil pengundi Selangor majoritinya sangat matang dan memberi keutamaan kepada ketelusan dan amanah. Mereka akan menghargai pembangkang yang efektif bagi memastikan “check and balance” dalam pentadbiran negeri. Benar atau tidak tuduhan yang dilemparkan kepada Azmin adalah soal kedua. Yang penting adalah UMNO sepatutnya menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang dengan efektif. Bukan sahaja untuk mendedahkan kelemahan kerajaan PKR tetapi juga dalam memperjuangkan isu yang menguntungkan rakyat.

 

Contohnya usaha penyusunan semula industri air yang tergendala selepas Azmin menjadi MB. Jelas Azmin gagal menunaikan janji Pakatan untuk memberi saham air kepada rakyat. Rakyat juga tidak mahu rancangan Azmin kerajaan membayar SPLASH RM2.8 bilion yang boleh menyebabkan caj air meningkat. Kenapa UMNO tidak bersuara?

 

Rakyat juga bertanya mengapa UMNO tidah mahu menyiasat dakwaan kerajaan Selangor menjual sebahagian tanah di Paya Indah Wetland kepada Gamuda dengan mengubah status tanah itu daripada rezab hutan simpan kepada pembangunan. Begitu juga pembaziran projek naik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan untuk RM10juta, naik taraf kubah masjid lebih RM30juta dan pembinaan parkir kereta di perpustakaan negeri sejumlah RM45juta!! Mengapa UMNO senyap?

 

UMNO juga gagal dalam membawa isu DEIG – anak syarikat negeri yang ditubuhkan Azmin untuk mengurus hartanah negeri. Lebih teruk lagi, wakil rakyat Pakatan pula yang menjuarai isu ini sehingga Azmin terpaksa menutup DEIG. Dan sekarang, rakyat sibuk berbincang isu kontroversi Unisel dan Jana Niaga. Selain Rizal, tiada siapa dalam UMNO Selangor bersuara isu ini.

 

Sebenarnya, peluang UMNO untuk menarik semula sokongan rakyat terbuka sejak bermulanya “Langkah Kajang” apabila Khalid Ibrahim dipecat dan digantikan oleh Azmin. Namun, satu persatu isu atau skandal timbul tetapi serangan terhadap Azmin bagaikan “hangat-hangat tahi ayam”. Akhirnya dia terlepas.

 

Bila agaknya UMNO Selangor akan bangun dari tidur? Semboyan telah pun dibunyikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan PRU14 menjadi peluang terakhir BN untuk merampas Selangor. Jika Noh Omar berani untuk menyahut semboyan, dia perlu merangka satu strategi komunikasi UMNO Selangor untuk melancarkan serangan yang padu terhadap Pakatan Selangor. Jika gagal, UMNO dan BN akan kalah di Selangor sebelum memasuki gelanggang PRU 14.

Please follow and like us:

Comments

comments

The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest
The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest