m
Popular Posts
Follow Us
HomeMalayUMNO perlu berubah

UMNO perlu berubah

FB-Ads-1-Week-39-thumb

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan melancarkan perang psikologi untuk mempengaruhi pengundi terutama pengundi atas pagar. Ketika BN mendakwa mampu mengekalkan pentadbiran negara ini, Pakatan pula mendakwa akan merampas Putrajaya.

 

Keyakinan BN itu berdasarkan kejayaan-kejayaan yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terutama mengekalkan momentum pertumbuhan KDNK ketika kesuraman ekonomi global. Walaupun pentadbiran Najib tercalit dengan pelbagai isu yang melibatkan 1MDB, BN tetap yakin mengekalkan Putrajaya malah akan merampas semula Selangor dan Pulau Pinang.

 

Jika diambil kira perkembangan politik semasa, UMNO dan BN lebih berpeluang cerah untuk mengekalkan pentadbiran negara kerana selain faktor ekonomi bertambah baik, krisis dalaman yang berlaku dalam Pakatan Harapan juga dapat membantu menambah sokongan.

 

Bagaimanapun, sokongan terhadap BN terutamanya UMNO tidak akan bertahan lama jika UMNO tidak melakukan transformasi untuk terus mendapat kepercayaan pengundi terutama mereka yang atas pagar atau pengundi senyap.

 

UMNO perlu berani melakukan transformasi peremajaan parti dengan memberi peluang kepada golongan muda mengambil bahagian dalam kepimpinan dipelbagai peringkat dari diakar umbi hinggalah peringkat teratas. Ini akan memberi mereka akses untuk berkomunikasi bersama rakyat sekaligus membina jatidiri mereka sebagai pemimpin rakyat yang disegani. Dan apabila ini dapat dilakukan, anak muda perlu diberi peluang untuk mengetuai bahagian atau calon PRU – terutama di kawasan yang majoriti pengundi muda.

 

Perlu diingat, kira-kira 2.5 juta pengundi yang akan mengundi pada PRU14 akan datang adalah golongan muda yang majoritinya berpendidikan tinggi dan terdedah kepada internet. Hasilnya, mereka lebih peka kepada isu semasa, kritikal dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda lapuk. Merujuk kepada kajian Merdeka Centre baru-baru ini, lebih 70% daripada 604 responden anak muda tidak minat pada politik dan 66% berpendapat ahli politik tidak boleh dipercayai dan punca segala masalah.

 

Anak muda sudah muak dengan retorik dan merasakan politik perkauman tidak lagi memainkan peranan penting. Sebaliknya isu ekonomi, etika pentadbiran serta kos sara hidup menjadi keutamaan. Mereka juga membuat keputusan berdasarkan fakta dan tindakan serta menyenangi ahli politik yang berfikiran kritikal, terbuka dan kosmopolitan. Mereka menjauhi aksi publisiti politik murahan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO seperti Datuk Jamal Yunos dan Armand Azha.

 

Dalam aspek ini, Pakatan telah mendahului UMNO dengan barisan pemimpin anak muda yang menepati ciri-ciri yang mereka cari. Nama-nama seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Dr Afif Bahardin, Tony Pua, dan Hannah Yeoh bukan asing kepada pengundi muda yang telah memberi kemenangan kepada mereka pada PRU13. UMNO pula cuma hanya ada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

Khairy bijak dalam mencatur karier politiknya. Menggunakan akaun media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook, beliau telah menarik perhatian jutaan penyokong muda dengan pendirian yang terbuka dan ringkas. Jelas formulanya menjadi kerana dia berjaya menarik 2.3 juta pengikut untuk akaun Twitter – sebaris dengan artis popular Malaysia.

Namun Khairy tidak boleh berseorangan dalam usaha menarik perhatian anak muda kepada UMNO. Lebih ramai pemimpin muda perlu diberi peluang menggunapakai formula Khairy dalam menonjolkan nilai kepimpinan mereka agar parti itu terus relevan dan berkembang seiring peredaran zaman.

 

Selain daripada itu UMNO juga perlu berani melakukan transformasi pemikiran dengan menghapuskan mentaliti kuno bahawa ketua bahagian berhak menjadi calon PRU. Jadi, setiap kali adanya pilihanraya calon “kitar semula” akan bertanding walaupun sudah beberapa kali kalah. Walaupun ketua bahagian memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran gerak kerja parti, calon PRU perlulah mempunyai kaliber yang tinggi serta latar belakang professional. Faktor senioriti tidak boleh dijadikan sebab utama dalam pencarian calon terutama apabila Pakatan yang lebih gemar meletakkan tokoh muda.

 

Pemikiran untuk menyokong mana-mana calon yang difikirkan paling sesuai untuk mewakili parti perlu diterap sekaligus meghapuskan budaya “cah keting” atau cantas mencantas, yang sudah sebati dengan UMNO. Ada yang sanggup memboikot gerak kerja kempen PRU hanya kerana tidak bersetuju dengan calon yang dipilih. Budaya inilah antara sebab golongan profesional dan muda “segan” mengambil bahagian secara aktif di bahagian masing-masing kerana tidak mahu berselisih faham dengan mereka yang lebih tua. Ini hanya akan merugikan UMNO kerana golongan ini akan beralih arah ke Pakatan.

 

Mencari calon muda serta berlatar belakang profesional berkait rapat dengan perubahan ketiga yang amat diperlukan dalam UMNO iaitu transformasi integriti. Ini adalah penting bagi membina kepercayaan rakyat kepada UMNO yang terpalit dengan imej pemimpin-pemimpin lama yang terlibat dengar rasuah. Maka, calon muda professional yang tidak mempunyai sejarah buruk lebih disenangi oleh pengundi muda. UMNO sering membuat kesilapan “menyimpan” pemimpin senior walaupun mereka terlibat dengan kes rasuah. Contohnya Tan Sri Isa Samad yang pernah didapati bersalah dengan politik wang dalam UMNO pada tahun xxxx. Walaubagaimanapun beliau terus diberi jawatan tinggi baik dalam GLC seolah untuk mengenangkan jasanya kepada parti. Tapi penghujungnya tetap mengecewakan apabila Isa disiasat atas tuduhan rasuah.

 

Menyentuh soal ini, ramai juga yang agak keliru dengan strategi Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menggunakan khidmat tiga bekas Menteri Besar untuk merampas semula Selangor kerana Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Mohd Khir Toyo memiliki rekod buruk dengan tuduhan rasuah serta skandal peribadi. Jika Noh mengharapkan sokongan padu kepada pasukan 3MB ini, fikirannya agak meleset. Sepatutnya Noh mencari ikon remaja yang boleh mewakili suara rakyat dan bukan 3 orang pemimpin berumur yang tidak relevan.

 

UMNO adalah parti politik terbesar dengan keahlian lebih 3 juta perlu berani untuk ‘mendiamkan’ pemimpin yang banyak membawa persepsi negatif. Untuk itu, transformasi perlu dilakukan bagi mengelak parti itu mendapat musibah setelah merentasi PRU14.

Please follow and like us:

Comments

comments

The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest
The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest