m
Popular Posts
Follow Us
HomeMalaySenario pasca manifesto Pakatan Harapan

Senario pasca manifesto Pakatan Harapan

Ada apa dengan Buku Harapan? Sejak dilancarkan 8 Mac lalu hinggalah ke hari ini, cakap-cakap mengenainya tidak henti-henti. Dari kedai kopi hinggalah ke tempat kerja – debat mengenainya seakan tidak berpenghujung.

 

Memang tidak boleh dinafikan hampir semua yang membacanya akan terpedaya. Bagi yang belum membaca, tetapi sudah mendengar mengenainya – ramai juga yang turut suka. Segelintir pembaca yang lain pula, mereka membacanya dengan ‘berhati-hati’ (dijelaskan dalam perenggan berikutnya).

 

Jadi, ada apa sebenarnya dengan Buku Harapan?

 

Jika dibaca sepintas lalu, isu memansuhkan GST nyata lebih terkehadapan berbanding 59 janji yang lain dalam buku manifesto PH menjelang PRU-14. Kerana faktor popularitinya, janji hapus GST juga diangkat sebagai janji pertama PH dalam tempoh 100 hari!

 

Secara kasar, PH bercadang mahu kembali melaksanakan SST sebagai pengganti GST. PH percaya langkah hapus GST dapat mengurangkan beban rakyat serta merta. Formula mereka mudah, jika kos sara hidup dapat dikurangkan, maka rakyat dapat berbelanja untuk hal-hal lain.

 

Seperti dijangka, janji hapus GST akan mengundang bermacam-macam pujian dan kritikan. Tidak kurang juga, ada yang mahu mengajukan soalan.

 

Lebih kurang soalan itu berbunyi:

“Di mana pembangkang nak cari pendapatan, kalau GST dihapuskan?”

Ada juga yang bertanya:

“Manifesto bukan janji, boleh percaya ke pembangkang akan laksanakan janji-janji dalam  Buku Harapan?”

 

Sebab itu, ada segelintir individu yang membelek-belek helai demi helai buku manifesto setebal 194 muka surat ini dengan berhati-hati. Kerana ada di antara mereka yang curiga, mungkin juga ada yang waspada.

 

Kerana Tun Mahathir sendiri yang pernah mengakui sebelum ini, semua janji yang dibuat PH tidak dapat ditunaikan kesemuanya. Janji yang dibuat Pakatan Harapan, bukan janji sebarang janji. Tetapi ini ‘janji berani mati’!

 

Seperti janji hapus GST, PH sedar SST hanya mampu mengutip RM18 bilion. Jumlah itu jauh kurang berbanding kutipan GST RM45 bilion. Jika dibuat perbandingan, bakinya defisit RM27 bilion daripada pendapatan negara.

 

Seorang pensyarah dari UPM menjangkakan kutipan GST boleh mencecah RM60 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang. Sekali lagi dibuat pengiraan – negara akan kehilangan pendapatan RM32 bilion!

 

Jadi, bagaimana boleh kutipan pendapatan yang kurang dapat menampung perbelanjaan yang lebih? Persoalan ini seakan-akan mimpi ngeri. Tetapi silap hari bulan, ia boleh menjadi nyata jika mana cadangan GST dihapuskan.

 

Dari sudut yang lain, apa pula kaitan janji hapus GST dengan jumlah hutang negara? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berulang kali sebelum ini menyatakan jumlah hutang negara berjaya dikurangkan kepada RM686 bilion atau 50.9 peratus dari KDNK.

 

Tetapi jika dibuat kiraan, selepas hapus GST dan melaksanakan janji-janji PH lain (hapus tol, tangguh PTPTN, dan lain-lain cukai) hutang negara akan bertambah RM416 bilion.

 

Dicampur jumlah tersebut dengan hutang negara sedia ada, jumlah hutang negara melambung kepada RM1 trilion, dengan kadar mencanak-canak naik 78 peratus berbanding KDNK!

 

Yang demikian dengan jelas, janji-janji yang disusun PH dalam manifestonya tidak lebih kurang daripada rasa curiga and waspada. Kerana dalam kalangan PH sendiri mereka tahu mengenai kiraan angka-angka berbilion ini. Tetapi kenapa meraka masih bertegas mahu meneruskan janji-janji ini?

 

Ia jelas boleh dilihat menerusi kesan hapus GST seperti yang boleh dijangka. Malah ia boleh diterjemahkan dalam tiga ramalan senario era pasca hapus GST, sekiranya PH benar-benar mahu melaksanakan manifesto mereka.

 

Pertama, tidak mustahil PH akan mungkir janji. Sebab jangan lupa, kenyataan Tun Mahathir yang tidak boleh tunai janji sebab kononnya bergantung pada faktor semasa. Atau dalam bahasa yang mudah, rakyat sebenarnya yang tertipu dengan janji manis pembangkang!

 

Senario kedua, PH akan tunaikan janji mereka. Tetapi hutang negara melambung tinggi berkali ganda dan kesannya ekonomi negara lumpuh, dan boleh jadi negara akan muflis. Kesannya menimpa nasib masa depan generasi muda dengan bebanan hutang dan kos sara hidup yang menekan.

 

Akhir sekali senario yang boleh dijangkakan berlaku, PH akan melaksanakan janji manifestonya, tetapi bersyarat. PH dijangka akan menaikkan cukai-cukai lain sebagai ganti untuk mengisi defisit pendapatan negara dan hutang yang tinggi setelah kutipan GST dilenyapkan.

 

Jika benarlah ketiga-tiga ramalan senario (era pasca janji PH ditunaikan) berlaku, kenapa PH masih berbuat demikian? Jawapannya mudah, tetapi ada sedikit mengejutkan.

 

Ada beberapa pemimpin PH sedar yang mereka akan kecundang pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Kesedaran mereka itu bersandarkan beberapa laporan dan kajian yang menunjukkan keputusan PRU-14 kelak, lebih pasti memihak kepada kerajaan yang memerintah sekarang.

 

Tetapi di kaca mata rakyat, mereka akan menonjolkan keyakinan mereka untuk menang. Apabila keputusan sebaliknya (BN menang) dan setelah apa yang berlaku, pembangkang boleh menuding jari dan menyalahkan kerajaan dengan mengaitkan pelbagai tuduhan.

 

Pada episod itu juga, rakyat akan dihasut untuk turun berdemonstrasi membantah kerajaan kerana rakyat tidak lagi berasa selamat. Di belakang kelompok rakyat yang membantah itu ialah pemimpin-pemimpin pembangkang yang juga merasa diri mereka tidak lagi ‘selamat’.

 

Kenapa tidak selamat? Kerana segala jalan cerita dan watak dalam skrip yang diatur PH bakal berubah. Pembangkang tidak lagi menjadi hero. Sebaliknya masing-masing mencari topeng muka dan berlakon menjadi mangsa.

 

Jadi, ada apa dengan Buku Harapan?

Comments

comments

Please follow and like us:
    The Malaysia Impact Article Contest
    Your Information will never be shared with any third party.
    The Malaysia Impact Article
    Submission Contest
    %d bloggers like this:
    The Malaysia Impact Article Contest
    Your Information will never be shared with any third party.
    The Malaysia Impact Article
    Submission Contest