m
Popular Posts
Follow Us
HomeMalayMahathir: Anugerah terhebat atau beban buat Pakatan?

Mahathir: Anugerah terhebat atau beban buat Pakatan?

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti PPBM dan mengumumkan
menyertai Pakatan Harapan (PH), bersorak sakan penyokong pembangkang kerana
percaya bekas Perdana Menteri paling lama dalam sejarah negara itu adalah satu anugerah
terhebat untuk mereka. Pemimpin PH menaruh keyakinan menggunung kepada Mahathir
untuk memecah belahkan sokongan orang Melayu kepada UMNO.

Bagi UMNO pula, mereka tidak boleh berbohong yang mereka juga sebenarnya cemas dan
khuatir dengan keputusan Mahathir itu. Dari pemimpin tertinggi parti hinggalah ahli biasa
di peringkat bawahan merasa gusar dengan kerjasama Mahathir- Anuar Ibrahim – Lim Kit
Siang. Bahkan ada ahli UMNO yang terus keluar parti dan menyertai PPBM kerana
percaya Mahathir mampu menumbangkan UMNO pada PRU14.

Kepimpinan UMNO tidak berdiam diri selepas keputusan Mahathir menyertai PH. Parti
terbesar dengan keahlian 3.6 juta itu terus menyerang Mahathir dan kisah-kisah silam
sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri telah digali semua untuk memulakan
perang persepsi.

Jelas tindakan UMNO mengungkit skandal lampau Mahathir adalah bermotifkan politik
bertujuan mendedahkan karektor Mahathir. Media-media tradisional sama ada cetak atau
televisyen yang dikuasai kerajaan dan rangkaian media sosial telah dikerahkan bagi
memastikan kejayaan misi membunuh karektor Mahathir yang berstatus Negarawan itu.

Salah satunya usaha UMNO adalah menubuhkan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI Forex)
untuk menyiasat urus niaga sekitar awal 90-an kerana ia tahu Mahathir dan Anwar Ibrahim
adalah pemain utama yang menyebabkan kerugian wang negara RM31.5 bilion.

Menggunakan strategi serampang dua mata, UMNO memastikan Lim Kit Siang turut
terkena tempias kerana pemimpin DAP itulah individu pertama yang mencadangkan
siasatan RCI Forex.

RCI Forex itu merupakan ‘balas dendam’ UMNO kepada Mahathir dan PH yang tidak
henti-henti menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan skandal 1MDB.
UMNO juga mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa Mahathir yang sibuk menunding
jari kepada Najib rupanya terpalit dengan skandal yang lebih teruk.

Namun perkembangan mutakhir juga menunjukkan UMNO tidak perlu lagi berusaha keras
untuk melondehkan karektor Mahathir. Ia yang hanya perlu memantau dari jauh sambil
menikmati “pop-corn” apabila Mahathir sendiri mendedahkan kepada rakyat wajah
sebenar beliau yang selama ini terselindung di sebalik kejayaan-kejayaan membangunkan
negara.

Konflik beliau dengan DYMM Sultan Selangor menunjukkan ego Mahathir melangit
sehinggakan payah untuknya menzahirkan permohonan maaf kepada baginda Sultan.
Mahathir seperti tiada hormat kepada Sultan Selangor. Malah, beliau seperti mahu

mencabar kesabaran Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah punberang keceluparan
Mahathir menghina keturunan Bugis. Awalnya Mahathir mahu memalukan Najib pada
Himpunan Anti Kletokrasi tetapi strateginya itu makan diri sendiri.

Mahathir bertindak kurang ajar dengan memulangkan dua pingat kebesaran yang
dianugerahkan Almarhum Sultan Selangor, ayahanda kepada Sultan Sharafuddin.

Perbuatan Mahathir itu memberi persepsi negatif kepada orang Melayu khususnya di
kawasan luar bandar. Isu-isu melibatkan Sultan dan raja sangat sensitif kepada masyarakat
Melayu kerana institusi raja-raja Melayu lambang ketuanan Melayu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan sikap Mahathir dalam konflik itu adalah penderhakaan
kepada Sultan dan raja Melayu. Tidak hairan jika masyarakat Melayu terutama di luar
bandar berhenti menyokong Pakatan kerana kecewa dengan sikap Mahathir yang tidak
beradab dan melangkaui tata susila orang Melayu.

PH perlu bijak menangani konflik Mahathir dan Sultan Selangor jika tidak mahu hilang
undi Melayu. Kesan itu diakui beberapa penganalisis politik termasuk pro Pakatan seperti
Wan Saiful Wan Jan.

Perbuatan Mahathir selaras dengan propaganda yang dimainkan UMNO yang melabelkan
DAP sebuah rasis yang anti Islam dan anti Melayu. Sikap Mahathir juga telah memberi
contoh tidak baik kepada bukan Melayu kerana suatu hari ini mereka pula berani
menderhaka kepada sultan atau raja kerana terpengaruh degan Mahathir.

Konflik dengan Sultan Selangor adalah kemuncak pendedahan karektor sebenar Mahathir.
Beliau pernah menghasut rakyat membenci DAP kerana Lim Kit Siang rasis tetapi
sekarang mereka berkawan baik. Dulu Mahathir mengajar rakyat Malaysia menolak DAP
kerana rasis tetapi sekarang beliau melabel MCA pula parti rasis. Mahathir juga
menyalahkan polis dalam Ops Lalang dan Tragedi Memali sedangkan ketika kejadian,
beliau adalah ketua kerajaan.

Sikap berdolah dalih, ego dan tidak pernah meminta maaf atas kesalahan dilakukan
termasuk memenjarakan Anwar sehingga tertubuhnya PKR yang nenjadi titik perpecahan
orang Melayu, maka layakkan Mahathir dianggap anugerah terhebat kepada PH atau beban
yang akan menjahanamkan lagi PH?

Walau apapun yang dilakukan Mahathir, jasa-jasa beliau membangunkan negara, daripada
negara pertanian kepada perindustrian dan digeruni di dunia tetap akan dikenang rakyat
Malaysia. Seperti kata perpatah, pemimpin datang dan pergi. Begitu juga Mahathir, beliau
tidak lagi sesuai untuk menjadi Perdana Menteri kerana zaman kegemilangannya sudah
pun berlalu.

Comments

comments

Please follow and like us:
    The Malaysia Impact Article Contest
    Your Information will never be shared with any third party.
    The Malaysia Impact Article
    Submission Contest
    %d bloggers like this:
    The Malaysia Impact Article Contest
    Your Information will never be shared with any third party.
    The Malaysia Impact Article
    Submission Contest