m
Popular Posts
Follow Us
HomeMalayBajet Pakatan Harapan, bajet ‘mitos’

Bajet Pakatan Harapan, bajet ‘mitos’

Budget 2018 pakatan2

Kerajaan Barisan Nasional telah membentangkan Bajet 2018 pada 27 Oktober lalu di Parlimen. Ketika membaca ucapan bajet, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelihatan yakin dan selesa ketika memperincikan program serta polisi untuk tahun hadapan. Baju Melayu biru sedondon yang dipakai beliau dan ahli parlimen BN menunjukkan kesepakatan mereka hari itu.

 

Pakatan Harapan pula membentangkan Bajet Alternatif beberapa hari sebelum itu, seperti lazimnya. Dengan pakar ekonomi seperti Rafizi Ramli, Tony Pua serta Dr Ong Kian Meng, sudah tentu Pakatan Harapan telah mencuba sebaiknya untuk memberi tandingan hebat kepada BN.

 

Secara objektif, kedua-duanya mempunyai tarikan mereka tersendiri dan pengundi perlulah melihat intipati kedua-dua bajet sebelum memilih yang manakah patut disokong. Baik BN atau Pakatan Harapan, isu yang paling popular dalam kedua-dua bajet adalah isu kos sara hidup termasuklan isu tol.

 

Najib telah mengumumkan untuk mansuhkan empat tol bermula 1 Januari 2018 melibatkan Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Tol Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Tol EDL di Johor. Rakyat umunya menyambut baik pengumum itu. Tetapi reaksi pemimpin Pakatan agak mengecewakan.

 

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar terus memberi “soalan bonus” tentang jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi tol PLUS. Sebenarnya isu ini sangat remeh. Sejak 2010, PLUS dimiliki kerajaan melalui Khazanah Nasional and KWSP. Ada pun pampasan untuk dibayar akan kembali kepada kerajaan dan seterusnya rakyat.

 

Lebih teruk, ada pemimpin Pakatan menyebarkan fakta-fakta yang salah tentang konsesi tol. Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail mendakwa kutipan tol di Batu 3 dan Sungai Rasau sememangnya akan tamat pada 2018. Justeru, pemansuhan itu satu helah mendapat sokongan rakyat menjelang PRU14. Tetapi tembelang mereka pecah tidak sampai sehari. Netizen mendedahkan perjanjian konsesi telah disemak semula pada 2011 dan dilanjutkan sehingga 2038 untuk mengelakkan kenaikan kadar tol. Adakah mereka tidak buat “homework” atau sengaja memberi maklumat palsu? Sepatutnya, keputusan yang baik untuk rakyat tidak perlu dikusutkan lagi dengan kenyataan remeh atau fitnah.

 

Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkan semua tol seandainya mereka menjadi kerajaan pemerintah selepas PRU14. Ini bukanlah janji baharu kerana ia telah dimasukkan dalam manifesto atau Buku Jingga terdahulu. Kalau dilihat secara objektif, janji ini pastinya disokong oleh semua rakyat – baik penyokong BN, Pakatan atau penyokong atas pagar.

 

Jika mahu dihapuskan terus, berapakah yang akan dibelanjakan oleh Pakatan Harapan untuk membayar pampasan semua syarikat konsesi yang terlibat? Pastinya berbillion ringgit dan akan membebankan kewangan negara. Adakah ianya praktikal? Ada juga yang berkata janji itu mustahil kerana penasihat Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah memulakan penswastaan.

 

Kalau dilihat pada ‘track record’ Pakatan, ramai juga yang tidak yakin dengan janji tersebut. Di Pulau Pinang, kerajaan DAP masih gagal menghapuskan tol Kampung Nyiur walaupun telah dijanjikan oleh Lim Guan Eng sebelum 2008.

 

Kerajaan PKR di Selangor pula memiliki saham minoriti dalam tiga syarikat konsesi lebuh raya – LDP, KESAS dan Sprint – tetapi tidak ada satu pun usaha yang dibuat untuk meringankan beban rakyat Selangor dari segi kutipan tol.

 

Ada yang mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali untuk memulakan langkah membeli saham majoriti dan menghapuskan tol. Tapi Azmin senyap sunyi. Lebih musykil, Azmin tanpa rasa bersalah meluluskan pula pembinaan tiga lebuh raya bertol baharu – SUKE, EKVE dan DASH. Jadi, benarkah Pakatan anti tol? Tidak keterlaluan jika dikatakan janji untuk mansuhkan tol oleh Pakatan Harapan hanya mitos untuk mengula-gulakan rakyat.

 

GST atau cukai barangan dan perkhidmatan adalah isu “favourite” yang dijaja Pakatan Harapan. Dalam Bajet Alternatif, GST akan dimansuhkan dan digantikan dengan SST atau cukai penjualan dan perkhidmatan. Teyapi bukankan SST terbukti tidak begitu berkesan dalam menstabilkan pembelanjaan negara kerana hanya mampu membawa perolehan RM14 billion berbanding RM42 billion menerusi GST.

 

Jadi dari manakah selebih pendapatan negara akan diperolehi jika GST dibatalkan? Pakatan berkata hasil daripada memerangi rasuah dan ketirisan akan menghasilkan RM20 bilion setahun. Agak sukar menerima retorik sebegini kerana usaha membanteras rasuah adalah jangka masa panjang dan hasilnya tidak boleh diperoleh sekelip mata. Nampaknya ini mitos juga.

 

Rakyat juga nampak sikap tidak konsisten Pakatan Harapan dalam isu BR1M dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di mana sebelum ini mereka mahu memansuhkannya. Dalam Bajet Aternatif, Pakatan Harapan membuat “U-turn” untuk mengekalkan kedua-duanya pula.

 

Jika sebelum ini Dr Mahathir menyelar BRiM adalah rasuah tetapi sekarang beliau seolah insaf mengakui BRiM dapat membantu 2.9 juta orang membeli barang keperluan harian. Isu PTPTN pula, mereka beria-ia mahu membatalkannya dahulu tetapi kini hanya mahu membantu memudahkan pembayaran semula pinjaman. Sungguh memalukan.

 

Di zaman internet di mana maklumat berada di hujung jari, rakyat lebih cerdik membuat penilaian parti politik berdasarkan prestasi, konsistensi serta keupayaan serta visi. Walaupun banyak yang perlu diperbaiki oleh Najib dan BN tetapi prestasi mereka sukar ditandingi Pakatan. Pakatan bukan sahaja gagal menunjukkan amalan politik yang matang tetapi juga gagal menyakinkan rakyat tentang kebolehan mentadbir.

 

Bajet Alternatif yang ‘terlalu rapuh’ dan lebih banyak menimbulkan keraguan dari segi sumber pendapatan negara menunjukkan Pakatan Harapan sebenarnya belum bersedia untuk mengambil alih kerajaan Pusat.

Please follow and like us:

Comments

comments

The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest
The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest