m
Popular Posts
Follow Us
HomeMalayAnwar perlu ‘kembali’ kepada PAS

Anwar perlu ‘kembali’ kepada PAS

FB-ADS-2-25th-Week-Thumb

Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat “kejutan” pada lewat malam 17 Jun lepas apabila mengeluarkan kenyataan menarik diri daripada menjadi calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU14. Pakatan, katanya perlu memberi lebih tumpuan kepada persiapan jentera pilihan raya bagi berdepan dengan BN, bukannya bertelagah sesama sendiri perihal calon PM.

 

Ramai yang tertanya mengapa Anwar sanggup membuang cita-citanya untuk menjadi PM, jawatan yang menjadi idamannya untuk lebih 20 tahun. Adakah beliau benar-benar bimbang dengan konflik pemilihan calon PM yang menampakkan seolah ada satu pertandingan di antara dirinya dan bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

 

Namun jangan terkejut jika kenyataan itu “ada udang di sebalik batu”, kerana Anwar yang terkenal dengan sifat “political animal” tidak pernah melakukan sesuatu tanpa maksud yang tersirat. Sebab itulah ada pihak mendakwa kenyataan Anwar itu hanya helah untuk menjadikannya lebih relevan apabila fokus politik pembangkang sekarang memberi banyak tumpuan kepada Tun M.

 

Anwar sekarang mungkin masih menunggu penyokong tegarnya bersuara mempertahankannya dan berkeras mahukan dirinya sebagai calon PM untuk Pakatan. Agak malang, selain daripada Saifudin Nasution tidak seorang pun di antara pemimpin PKR yang bersuara.

 

Nampaknya Anwar benar-benar terpinggir di dalam politik pembangkang bukan sahaja kepada pemimpin parti tetapi juga kepada rakyat. Mungkin beliau sudah hilang seri sebagai ikon pembangkang kerana terlalu banyak masa dihabiskan di sebalik tembok Penjara Sungai Buloh.

 

“Remote control” yang selama ini dipegang Anwar dari Penjara Sungai Buloh juga sudah rosak dan beliau tidak lagi mampu mengawal pemimpin parti yang lain selain isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang gagal memainkan peranan berkesan sebagai Presiden parti dan Ketua Pembangkang. Akibatnya, pemimpin PKR seperti Azmin Ali, Tian Chua dan Zuraidah Kamarudin secara terang menunjuk minat kepada kepimpinan Tun M – individu yang bertanggungjawab memenjarakan Anwar.

 

Lebih parah, kesetiaan DAP pada Anwar sebagai calon PM dan Wan Azizah sebagai pengganti sementara juga kian pudar. Walaupun Lim Guan Eng menyatakan sokongan kepada Anwar tapi dalam masa sama dia juga mengaku mahu Tun M diberi peranan penting dalam pakatan yakni sebagai pengerusi pakatan kerana pengalaman 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

 

Maka jelas kehadiran Tun M antara sebab utama kenapa Anwar semakin tidak relevan. Sekali lagi Tun M menjadi penghalang kepada cita-cita Anwar untuk menjadi PM Malaysia. Tetapi ini bukanlah satu pengakhiran bagi karier politik Anwar. Dalam politik tiada yang mustahil.

 

Jadi apakah jalan keluar untuk Anwar? Menggunakan konsep “enemy of my enemy is my friend”, Anwar perlu menimbangkan secara serius untuk berbaik dengan musuh ketat DAP sekarang iaitu PAS, yang dikatakan telah ‘dibuang’ oleh pakatan.

 

Mengapa Anwar perlu kembali kepada PAS? Jawapannya adalah jelas – PAS merupakan parti yang mendapat sokongan terbesar orang Melayu, selepas UMNO. Bukan PKR atau Pribumi dan jauh sekali PAN. Hanya parti itu mempunyai kekuatan menggerakkan akar umbi untuk memberi sokongan kepada Anwar. Selama ini pun kekuatan akar umbi PAS yang menolong pakatan dalam perhimpunan, kerja pilihan raya dan meraih sokongan rakyat. Sebab itu bila PAS sudah bukan rakan Anwar, tiada lagi ribuan lambaian tangan kepada pemimpin di sebalik tembok penjara itu.

 

PAS juga mampu mengimbangi kuasa dan pengaruh DAP dalam pakatan. Parti itu jugalah satu-satunya parti pembangkang yang menolak untuk bekerjasama dengan Tun M kerana parti itu menganggap bekas PM itu sebagai ‘bapa segala rasuah’ dan ‘punca segala masalah rakyat negara ini’. Pemimpin PAS begitu tegas dengan pendirian menolak Tun M tidak seperti pemimpin pakatan yang seperti ‘menjilat lidah’ dan terhegeh-hegeh cuba meraih perhatian Tun M.

 

Tidak salah jika dikatakan Anwar perlu ‘sujud’ dan ‘sembah’ kepada pimpinan PAS untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai calon PM dan kekal sebagai pemimpin utama pakatan. Tapi PAS tidak akan sewenangnya kembali kepada pakatan kerana suasana tidak kondusif.

 

Anwar perlu ‘mengajar’ pimpinan PKR yang sealiran dengan Rafizi Ramli yang sentiasa mengutuk dan menghina PAS. Anwar perlu sedarkan mereka taktik DAP yang sedang ‘laga-lagakan’ semua parti Melayu dalam pakatan supaya dapat monopoli pakatan. Strategi DAP ini semakin berjaya dengan PKR dan Pribumi berebut untuk menjadi PM dan jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan.

 

Anwar juga akan mendapat tentangan kuat daripada DAP yang tidak akan berdiam diri jika ada usaha untuk mengembalikan PAS dalam pakatan. Tidak mustahil jika DAP membuat kekacauan dalaman PKR seperti apa yang dilakukan kepada PAS sehingga lahirnya PAN.

 

Dan jika Anwar mahu kembali pada PAS, dia perlu bekerja keras untuk memujuk Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang sudah jelak dengan permainan politik melampau dalam pakatan. Walaupun susah, ia masih belum terlambat untuk Anwar berbaik semula dengan PAS dan mendapat semula sokongan orang Melayu yang telah kembali menyokong UMNO. Inilah jalan lebih baik daripada bekerjasama dengan Pribumi yang dipenuhi dengan orang-orang yang kecewa dan bermuka-muka.

 

 

Please follow and like us:

Comments

comments

The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest
The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest