m
Popular Posts
Follow Us
HomeMalayAda harapan lagikah untuk Pakatan?

Ada harapan lagikah untuk Pakatan?

FB-Ads-1-Week44-Thumb

Pembangkang mulakan tahun 2017 dengan penuh gaya dan keyakinan, tetapi nampaknya sisa-sisa tahun ini akan dilalui dengan sukar.

 

Baru-baru ini, hanya 200 orang berkumpul di Dataran Merdeka untuk sokongan kepada Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipenjara 1,000 hari atas kesalahan liwat. Malah aura pemimpin berpengaruh seperti isteri dan anaknya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah, serta rakan seperjuangan Lim Kit Siang, gagal menarik minat penyokong Pakatan.

 

Kenyataan Wan Azizah kononnya kesihatan Anwar merosot juga tidak dapat memberi rangsangan kepada penyokong untuk hadir.  Jika Anwar sendiri melihat “candlelight vigil” tersebut, pasti kesakitan yang dialami akan bertambah perit. Dakwaan bekas timbalan Menteri Datuk Seri Husni Hadzalah di Parlimen tentang hubungan sumbang antara Anwar dan anak saudaranya juga tidak membantu keadaan.

 

Dalam pada itu, penasihat parti Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad mencetuskan kemarahan apabila menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan “berketurunan lanun Bugis” dalam dua ceramah politik. DYMM Sultan Selangor, yang berketurunan Bugis, bertitah mahu Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan kerana menggolongkan bangsa Bugis dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.

 

Sindiran itu juga mencetus masalah diplomasi dengan Indonesia sehingga Kedutaan Malaysia di Jakarta terpaksa meningkatkan tahap keselamatan di premis Kedutaan. Pada 20 Oktober lepas, kedutaan menerima memorandum daripada Persatuan Pemuda Bugis Makassar Indonesia, yang berang dengan kenyataan Dr Mahathir. Bekas Timbalan Presiden Jusuf Kalla juga mahu Dr Mahathir meminta maaf.

 

Tetapi nampaknya Dr Mahathir tidak menghiraukan ini semua. Ini tidaklah mengejutkan kerana setelah menjadi Perdana Menteri yang digeruni selama 22 tahun, saiz egonya mestilah agak besar.  Beliau bukan sahaja tidak peduli malah berkeras tidak melakukan apa-apa kesalahan.

 

Melihat sikap Dr Mahathir dalam menghadapi isu ini membuat ramai tertanya-tanya jika pemimpin Pakatan mempunyai masalah ego. Ini adalah kerana di Pulau Pinang, Timbalan Menteri P Ramasamy dilaporkan bertelingkah dengan kumpulan NGO tempatan berkenaan polisi pembangunan lereng bukit.

 

Ramasamy telah memarahi NGO berkenaan kerana mengkritik kerajaan negeri bawah pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang membenarkan pembangunan lereng bukit sehingga berlakunya tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa. Guan Eng juga ego tidak mahu bertanggungjawab walaupun didesak bertalu-talu oleh rakyat.

 

Sikap DAP amat mengejutkan penyokong-penyokong mereka. Penganalisis bebas Khoo Kay Peng berkata sikap ego DAP akan membawa padah kepada parti tersebut. Sebelum isu tanah runtuh ini dapat di atasi, picisan Taufan Doksuri menyebabkan bencana banjir melanda di seluruh pulau. Nampaknya cuaca pun tidak menyebelahi DAP.

 

Namun situasi tidaklah begitu teruk untuk PKR Selangor yang mendapat pujian selepas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali “berjaya” membentangkan belanjawan negeri yang dikatakan lebih baik daripada Bajet 2018 oleh kerajaan Persekutuan.

 

Belanjawan Selangor memperuntukkan sejumlah RM3.12 bilion di mana RM1.46 bilion (53.2%) adalah untuk pengurusan dan RM1.66 bilion (46.8%) untuk pembangunan. Azmin mendabik dada kononnya belanjawan itu selaras dengan prinsip “ex-ante accountability” dalam perancangan dan pengurusan bajet kerana perbelanjaan pembangunan lebih banyak daripada pengurusan.

 

Benarkah? Maksud perbelanjaan pembangunan ialah perbelanjaan pelaburan jangka panjang untuk projek-projek pembangunan ekonomi negara untuk meningkatkan pembentukan dan menambahkan modal fizikal negara. Ia tidak bersifat berulang-ulang.

 

Perbelanjaan mengurus kerajaan pula ialah peruntukan perbelanjaan pembayaran kos pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Ia merupakan perbelanjaan semasa dan bersifat berulang-ulang pada setiap tahun. Sebahagian besar perbelanjaan pengurusan adalah gaji dan program sosio-ekonomi.

 

Jika mengikut takrifan itu, program pembiayaan untuk pelaksanaan program kerajaan Persekutuan seperti BR1M, subsidi dan bantual sosial dil teka di bawah pengurusan. Jika diamati belanjawan Selangor, sejumlah RM187.74 juta peruntukan pembangunan adalah untuk program sosio-ekonomi melibatkan belia, wanita dan keluarga. Bukankah itu sepatutnya diletak dibawah pengurusan?

 

Jika jumlah RM187.74 juta diletakkan di bawah pengurusan, ini bermakna peratusan pengurusan adalah 52% berbanding 40.8% untuk pembangunan. Azmin seolah telah melakukan “silap mata” bagi memastikan pembentangan selaras dengan prinsip “ex-ante accountability”.

 

Satu lagi isu penting adalah sejak Azmin gagal meneruskan kejayaan bekas MB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membentangkan belanjawan seimbang untuk empat tahun berturut-turut. Tahun lepas defisit belanjawan Selangor adalah RM900 juta – tertinggi dalam sejarah negeri. Tahun ini defisitnya adalah RM870 juta atau 27.8% daripada jumlah keseluruhan belanjawan. Tetapi defisit bajet Persekutuan hanyalah 14.4% (RM40.39 billion daripada unjuran keseluruhan RM280.25 bilion). Agak memalukan kerana Azmin sebelum ini bersungguh-sungguh mengkritik Najib kerana membentangkan bajet defisit di Parlimen.

 

Nampaknya, sisa-sisa 2017 tidak boleh dilalui dengan senang oleh Pakatan. Walaupun mereka kelihatan “gah” di laman media sosial, namun kekecewaan penyokong Pakatan semakin nyata. Pakatan kelihatan seperti sebuah pasukan bola sepak yang mempunyai pemain-pemain tua yang telah melakukan banyak “foul” dan tak mampu menjaringkan gol.

 

Jelas mereka memerlukan pengurus baharu dengan taktik baharu selain isu 1MDB dan GST. Tapi jika dilihat daripada perkembangan terkini, harapan untuk mereka mengulangi kecemerlangan PRU13 tenyata sangat tipis.

Please follow and like us:

Comments

comments

The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest
The Malaysia Impact Article Contest
Your Information will never be shared with any third party.
The Malaysia Impact Article
Submission Contest